JANGAN KATA "JANGAN"

Kita selalu dengar, pakar motivasi kata…Jangan Kata “JANGAN” di Hadapan Anak

“Uzair, JANGAN panjat!! Nanti jatuh...”

“Fatimah, JANGAN pegang telur tu!! Nanti pecah! Telur sekarang mahal tau!”

“Aiman, JANGAN main kat luar!! Hari panas ni, nanti hitam..”

JANGAN buat itu… JANGAN buat ini…JANGAN, JANGAN,

JANGAAAAN!!!

Apa sebenarnya yang terjadi jika kita “jangan” di hadapan anak kita?

Jangan fikir tentang bola. Saya tahu..anda baru sahaja fikirkan tentangnya bukan? Ini kerana, setiap kali kita menyebut “jangan”, minda bawah sedar kita akan menapis perkataan “jangan”. Minda tidak akan menangkap perkataan “jangan” tetapi ia akan menangkap perkataan selepas jangan.

“Uzair, JANGAN panjat!! “

Apa yang terjadi? Uzair akan panjat ke tempat yang lebih tinggi.

“Fatimah, JANGAN pegang telur tu!! Nanti pecah!

Fatimah akan ambil bukan 1 biji telur, malah 2 biji telur. Dan tak lama kemudian, ting! telur pun pecah!

Ini kerana;

“The Law of Attraction responds the same way you mind does: It hears what you DON’T want. When you hear yourself make a statement containing the words don’t, not or no, you are actually giving attention and energy to what you DON’T want“ (Michael J. Losier)

Dan perkara ini merupakan Sunnatullah;

Daripada Abu Hurairah r.a katanya bahawa Rasulullah saw bersabda, Allah swt berfirman, “Sesungguhnya apa-apa yang akan Aku lakukan terhadap hambaKu adalah mengikut sangkaan hambaKu terhadapKu…” (H.R Imam Ahmad, Bukhari, Muslim dll)

Bila kita cakap dan fikir, “nanti jatuh”, maka anak kita akan jatuh.

Bila kita cakap dan fikir,”nanti pecah”, maka barang yang disentuh anak kita akan pecah.

Jadi, untuk mengelakkan diri daripada berkata “jangan”, tanya diri kita, apa yang kita mahu anak kita lakukan?

Perhatikan,selepas pertanyaan tersebut dibuat, ayat kita akan berubah.

“Jangan panjat!” diganti dengan “Turun ke bawah, sayang”

“Jangan pegang!” diganti dengan “Letak balik barang itu ke tempatnya dengan berhati-hati”

Tapi….

Kita semua ibubapa. Dan kita akui bahawa betapa susahnya untuk mengelakkan diri daripada berkata JANGAN. Oleh itu, pastikan, selepas kita ter-sebut perkataan “jangan”, kita beritahu anak-anak, apakah yang harus mereka lakukan.

Beritahu mereka cara yang lebih baik yang dapat mereka lakukan atau alihkan perhatian mereka kepada aktiviti yang lain yang lebih menarik.

Contoh ayat untuk memberitahu cara yang lebih baik:

“Pandai Fatimah tolong Ummi. Sayang ambil mangkuk ini. Masukkan semua telur dalam mangkuk dan bawakan kepada Ummi”

Contoh ayat untuk alihkan perhatian mereka kepada aktiviti yang lain:

“Uzair, mari turun ke bawah, nak. Ummi masak something special untuk Uzair. Marilah ke dapur sama-sama dengan Ummi”

“Aiman, mari masuk dalam. Tak best lah main kat luar sekarang. Panas kan? Nanti petang ni bila dah sejuk sikit, Ummi bawa Aiman pergi taman permainan. Nak tak?”

Sejuk hati bila anak-anak mendengar kata-kata yang baik dan berhikmah daripada ibubapanya. Mereka bukan tidak mahu mendengar kata, tetapi, adakalanya cara kita menegur tidak sesuai dengan tahap psikologi mereka.

Mari kita istighfar kepada Allah seandainya kesilapan kata-kata kita telah membentuk kejahatan dalam diri anak-anak-anak. Mohon doa daripada Allah, agar menjadikan kita ibubapa yang soleh dan solehah.

Ibubapa yang soleh akan melahirkan anak-anak yang soleh.

InsyaAllah!

sumber:AnakkuSoleh.com