tarbiyyah



Tarbiyyah bukan segala-galanya tetapi segala-galanya akan diraih (dicapai) dengan tarbiyyah. [As syeikh Mustafa Masyhur].



Ya, tarbiyyahlah yang (dengan izin Allah SWT) telah mengubah peribadi sahabat-sahabat awwalun dari segi kefahaman, Syu'ur (perasaan), ruh dan sikap hidup mereka. Mereka bukanlah pasukan manusia yang Allah SWT turunkan dari langit dengan segala kesempurnaan, sebaliknya sebahagian mereka adalah serpihan dari masyarakat jahiliyyah; yang sudah terbiasa dengan cara hidup kehaiwanan. Ada yang pernah membunuh anak perempuan hidup-hidup, biasa berjudi, membunuh dan sebagainya.

Tarbiyyah bukan GHAYAH (Matlamat) sehinggakan kita merasa tenang kerana terikat dan berada dalam majlis-majlis ilmu, usroh, halaqoh, tamrin dan sebagainya tetapi tabiyyah adalah WASILAH (jalan) untuk kita meningkatkan diri ketahap yang dikehendaki oleh Allah SWT. Yang menjadi persoalan utamanya bukan berapa lama kita berada dan melalui proses tarbiyyah tetapi sejauhmana kita telah tingkatkan diri kita sehingga terbinannya satu keperibadian sebagaimana yang dicontohkan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat.

Tarbiyah bukan sekadar membentuk seseorang itu menjadi mukmin untuk dirinya, beramal dan bertaqwa seorang diri sahaja sebaliknya ia bertujuan melahirkan mukmin yang sedia berkhidmad, memberi sumbangan kepada Islam dan berjihad pada jalan Allah SWT.

Rasulullah SAW mendidik para sahabatnya sehingga menjadi mujahid yang kukuh iman mereka, sentiasa bersedia untuk berkorban dan berjihad pada jalan Allah. Apabila Islam berhajat kepada kerja dakwah, maka tampillah para da'i yang jujur, berani dan sabar menyampaikan risalah Islam melalui lisan dan contoh yang baik. Apabila Islam memerlukan pengorbanan harta benda, maka tampillah sahabat yang mempunyai harta kekayaan menyerahkan harta benda mereka kepada Rasulullah SAW dengan penuh keredhaan tanpa bakhil, seperti Abu Bakar al-Siddiq, Umar al-Khattab, Usman Ibn Affan dan Abdul Rahman al-'Auf.

Rasulullah SAW telah memulakan dakwahnya dengan tiga persoalan besar; Dari mana kita datang, kenapa kita didatangkan dan kemana akhirnya kesudahan kita. PERSOALAN yang menjelaskan mengenai hakikat penciptaan manusia; iaitu TUJUAN dijadikan, apakah MISI kita di dunia yang sementara ini dan apakah LAPORAN yang bakal kita persembahkan pada Allah SWT setelah tugas kita itu selesai. PERSOALAN yang menjelaskan hakikat diri insan, peranan dan tanggungjawabnya sekaligus menuntut kita membina satu KEPERIBADIAN yang mampu melaksanakan TUGAS yang cukup besar.

Tarbiyyah bukan GHAYAH tetapi WASILAH bahkan WASILAH KUBRA untuk kita memenuhi TUJUAN bagi penciptaan kita. Tarbiyyah adalah satu-satunya jalan bagi PEMBINAAN DIRI, satu-satunya jalan untuk memahami TUGAS dan satu-satunya jalan untuk kita memahami PELAKSANAAN yang paling menepati kehendak Allah SWT.

Jika seseorang itu ingin menjadi seorang jurutera maka ia perlu melalui satu proses pembelajaran dan latihan. Maka untuk menjadi mukmin juga perlu melalui proses yang sama. Jika untuk menjadi jurutera perlu ada kurikulumnya, ada pusat pengajiannya, perlu ada guru-guru yang mahir dan berpengalaman maka ADAKAH untuk menjadi mukmin yang memenuhi syarat-syarat yang ditentukan oleh Allah SWT memerlukan proses dan sarana yang lebih kurang dari proses dan sarana untuk menjadi jurutera? Adakah sama; berjaya mencapai cita-cita dunia dengan keselamatan dari NERAKA Allah SWT dan dimasukkan ke SYURGA-Nya.

InsyaAllah persoalan ini akan cuba diperincikan dari semasa ke semasa.

sumber : cikgu azmi bahari