Hari yang ditunggu-tunggu telah tiba. Kedua-dua mempelai menanti dengan penuh debaran. Setelah ini, si pemuda kacak bakal menambah beban di bahu, membuktikan janji-janji setia yang ditaburkan untuk membahagiakan dan mendekorasi mahligai bersama. Si wanita cantik berseri pula kelak diserahkan penuh adab pada si jejaka, tersemat di benak agar wajib turuti segala perintah si suami yang setia.
Sanak-saudara memenuhi ruang legar masjid, menunggu ketibaan tok kadi. Anak-anak kecil berlari-lari bermain polis entri. Ibu-ibu sibuk membetulkan tudung yang senget sana, senget sini. Para ketua keluarga bercerita penuh lawak jenaka tak kering gusi. Hanya si jejaka itu duduk, tertunduk, sesekali cuba menghangatkan tangan yang semakin dingin, gementar barangkali. Si puteri itu pula bersimpuh malu, bercampur-baur perasaan, SMS bertandang mendoakan kelancaran majlis akad nikah sebentar lagi.
Dulang hantaran tersusun rapi. Jika disusun sebaris, mahu satu saf yang bisa memuatkan 40 jemaah. Cincin pernikahan, jam tangan, kasut, pencuci sana pencuci sini, Mushaf Al-Quran beserta tafsir dan terjemahan, dengan berwarna-warni tulisan; dan bermacam-macam coklat dan buah-buahan.
Langkah bergaya tok kadi memasuki perkarangan. Disambut baik, bersalam-salaman. Duduk bersila, memanggil pengantin lelaki menghadap. Majlis bermula.
Mukaddimah disertai dengan doa puji-pujian buat Yang Maha Esa. Taklimat dan satu per satu tazkirah dihadiahkan buat sang mempelai yang bakal mendirikan rumah tangga. Sampai satu masa..
Maka, merah padamlah wajah si pengantin lelaki. Menyesal tak sudah. Lantas berlegar-legar di fikirannya akan tanggungjawab mendidik si isteri agar melazimi membaca Al-Quran bersama seperti yang dinasihatkan oleh tok kadi sebentar tadi. Tidak terhenti di situ, solat pula kadang buat, kadang buat-buat tak sempat. Puasa pula selalu tak tahan lapar dan dahaga. Pening memikirkan hal tanggungjawab diri dan bakal isteri yang bakal digalas.
Sebelum tiba saatnya lafaz sakinah..
Sebelum tiba saatnya bertemu Allah, Tuhan Yang Maha Menghidupkan dan Mematikan..
~ Aslih Nafsak Wad'u Ghairak ~